PETA LAMAN   :   PAUTAN    B.MELAYU    ENGLISH

concept-image

Kenyataan Akhbar Jabatan Keselamatan Jalan Raya Bersama Media Jkjr Dan Safety Driving Centre Tandatangani Mou Dan Jayakan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya

KENYATAAN AKHBAR
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSAMA MEDIA

JKJR DAN SAFETY DRIVING CENTRE TANDATANGANI MOU
DAN JAYAKAN KEMPEN ADVOKASI KESELAMATAN JALAN RAYA

29 MEI 2009

Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) bersama rakan kongsi kini terus memperhebatkan kempen advokasi keselamatan jalan raya dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai terhadap isu-isu keselamatan jalan raya.

Kempen advokasi yang berlangsung pada hari ini, di Jalan Tuanku Abdul Rahman -Chow Kit yang diketuai oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia dijayakan bersama oleh pihak JPJ, PDRM, LPKP, MIROS, JKR, LLM, DBKL, SIRIM, AAM, DOSH, PERKESO, RSMC, PROTON, PERODUA, dan HONDA.

Pelaksanaan kempen advokasi keselamatan jalan raya pada hari ini, mensasarkan tiga golongan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi yang meliputi golongan pemandu kereta bagi penguatkuasaan undang-undang pemakaian tali keledar depan dan belakang, golongan penunggang dan pembonceng motosikal bagi program gantian topi keledar dan sesi khidmat nasihat serta golongan pejalan kaki bagi penggunaan lintasan yang betul.

JKJR dan Safety Driving Centre Tandatangani MOU

Pada hari ini satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Safety Driving Centre (Sel) Sdn Bhd dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan keberkesanan program keselamatan jalan raya. Melalui memorandum ini pihak Safety Driving Centre juga bersetuju menawarkan Promosi Lesen Motosikal, bagi kelas B2 di bawah 250cc bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2009 dengan diskaun 50%, iaitu pakej dari RM199.00.

Promosi Lesen Motosikal ini merupakan sumbangan pihak SDC dalam usaha bersama menangani permasalahan isu pelajar di bawah umur kelayakan dan tanpa lesen yang menunggang motosikal ke sekolah. Semoga melalui promosi ini para ibubapa dan pelajar akan mengambil peluang untuk mendapatkan lesen motosikal dengan pakej yang murah.

Upacara menandatangani Memorandum Persefahaman ini telah disempurnakan oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah JKJR dan Encik Adli Ahmad Ghazi, Pengarah Eksekutif, Safety Driving Centre.

Petua-Petua dan Panduan Keselamatan Jalan Raya sempena Cuti Sekolah

Bersempena dengan musim cuti persekolahan ini, pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia(JKJR) ingin mengingatkan dan menasihatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa serta mengamalkan pemanduan berhemah ketika di jalan raya.

Peningkatan kadar jumlah trafik pasti berlaku kerana para ibubapa mengambil peluang membawa anak-anak dan keluarga pergi bersiar-siar atau bercuti sempena musim cuti persekolahan ini.

Dalam pada itu para ibubapa dinasihatkan agar tidak membenarkan anak-anak mereka yang belum layak dan belum memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu kereta atau menunggang motosikal demi melindungi keselamatan orang tersayang dan mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada mereka.

Maka adalah menjadi tanggungjawab para ibubapa agar sentiasa mengawasi dan memastikan keselamatan keluarga dan anak-anak ketika berada di jalan raya, iaitu jika memandu kereta pastikan mereka memakai tali keledar depan dan belakang, jika menunggang motosikal pastikan mereka menggunakan topi keledar dengan kemas dan betul serta jika melintas pimpinlah tangan anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka.

Sebagai langkah-langkah keselamatan di jalan raya para pemandu haruslah membudayakan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalulintas serta sentiasa mengamalkan 8 petua keselamatan jalan raya bagi memastikan setiap perjalanan selamat sampai ke destinasi.

Di samping itu pihak JKJR memohon agar semua pengusaha-pengusaha pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas ekpress dan KTMB berusaha memperbaiki kualiti dan kekerapan perkhidmatan sepanjang tempoh musim cuti persekolahan ini, bagi memenuhi dan menampung pertambahan permintaan yang dijangkakan daripada pengguna-pengguna terhadap sistem pengangkutan awam.

Kempen bersepadu keselamatan jalan raya JKJR bersama rakan kongsi ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman para pengguna jalan raya terhadap keutamaan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang ketika di jalan raya ke arah menyumbang meminimakan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara kita.

 

"PANDU, TUNGGANG DAN JALAN DENGAN SELAMAT"
"ANDA MAMPU MENGUBAHNYA"

 

JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA, MALAYSIA

 


Arkib Kenyataan Akhbar