
KENYATAAN AKHBAR
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSAMA MEDIA
JKJR DAN PERSATUAN INSTITUT MEMANDU MALAYSIA(PIMA) TANDATANGANI MOU
DAN JAYAKAN KEMPEN ADVOKASI KESELAMATAN JALAN RAYA
5 JUN 2009
Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) bersama rakan kongsi kini terus memperhebatkan kempen advokasi keselamatan jalan raya dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai terhadap isu-isu keselamatan jalan raya.
Kempen advokasi yang berlangsung pada hari ini, di Jalan Stesen Sentral 5, Terminal KL Sentral yang diketuai oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia dijayakan bersama oleh pihak JPJ, PDRM, LPKP, MIROS, JKR, LLM, DBKL, SIRIM, AAM, DOSH, PERKESO, RSMC, PROTON, PERODUA, dan HONDA.
Pelaksanaan kempen advokasi keselamatan jalan raya pada hari ini, mensasarkan tiga golongan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi yang meliputi golongan pemandu kereta bagi penguatkuasaan undang-undang pemakaian tali keledar depan dan belakang, golongan penunggang dan pembonceng motosikal bagi program gantian topi keledar dan sesi khidmat nasihat serta golongan pejalan kaki bagi penggunaan lintasan yang betul.
JKJR dan Persatuan Institut Memandu Malaysia(PIMA) Tandatangani MOU
Pada hari ini satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Persatuan Institut Memandu Malaysia(PIMA) dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan keberkesanan program keselamatan jalan raya. Melalui memorandum ini pihak PIMA juga bersetuju menawarkan Pakej diskaun istimewa kepada para pelajar, bagi lesen motosikal kelas B2 di bawah 250cc.
Pakej ini merupakan sumbangan pihak PIMA dalam usaha bersama menangani permasalahan isu pelajar di bawah umur kelayakan dan tanpa lesen yang menunggang motosikal ke sekolah. Semoga melalui program ini para ibubapa dan pelajar akan mengambil peluang untuk mendapatkan lesen motosikal dengan pakej yang murah.
Dalam pada itu JKJR dan PIMA akan meningkatkan kerjasama pintar bagi melaksanakan pelbagai program interventasi ke arah usaha mempromosi isu-isu keselamatan jalan raya dan budaya selamat yang menjadi amalan negara-negara maju.
Upacara menandatangani Memorandum Persefahaman ini telah disempurnakan oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah JKJR dan Encik Mat Aris Bakar, Presiden Persatuan Insitut Memandu Malaysia(PIMA).
Kerjasama dan sokongan padu PIMA melalui MOU serta Kempen bersepadu keselamatan jalan raya JKJR bersama rakan kongsi pada hari ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman para pengguna jalan raya terhadap keutamaan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang ketika di jalan raya ke arah menyumbang meminimakan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara kita.
"PANDU, TUNGGANG DAN JALAN DENGAN SELAMAT"
"ANDA MAMPU MENGUBAHNYA"
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA, MALAYSIA