
KENYATAAN AKHBAR
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSAMA MEDIA
JKJR BERSAMA RAKAN KONGSI PERHEBAT
KEMPEN ADVOKASI KESELAMATAN JALAN RAYA
24 APRIL 2009
Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) bersama rakan kongsi kini terus memperhebatkan kempen advokasi keselamatan jalan raya dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai terhadap isu-isu keselamatan jalan raya.
Kempen advokasi yang berlangsung pada hari ini, di Plaza Tol Mines Selatan, KM 15, Lebuhraya Sungai Besi Besraya yang diketuai oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia dijayakan bersama oleh JPJ, PDRM, LPKP, MIROS, JKR, LLM, SIRIM, AAM, BESRAYA, DOSH, PERKESO, RSMC, PROTON, PERODUA, HONDA dan AUTO TOUCH.
Program Perkongsian Pintar JKJR Bersama Persatuan Motosikal (MMSDA) dan Pengedar-Pengedar Motosikal
Sehingga kini sebanyak 916 pengedar/penjual/bengkel motosikal telah pun dilatih oleh para pegawai JKJR peringkat negeri di seluruh negara dalam usaha mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya di permis-permis jualan melalui pengedaran poster-poster pelbagai bahasa dan panduan-panduan keselamatan sebagai pendedahan dan pendidikan awal kepada golongan penunggang dan pembonceng motosikal.
Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Program Inisiatif Topi Keledar Kebangsaan
Pelaksanaan kempen advokasi pada hari ini juga turut menyaksikan pihak JPJ dan Pengedar/Penjual Kon Keselamatan memberikan taklimat ringkas berkaitan ciri-ciri keselamatan dan penggunaan Kon Keselamatan bagi para pengguna jika terlibat dalam kes kecemasan seperti kerosakan kenderaan atau kemalangan di jalan raya.
Penggunaan Kon Keselamatan dengan meletakkan beberapa meter di belakang kenderaan yang mengalami kerosakan ini amat penting sebagai tanda amaran atau memberitahu kepada pemandu lain tentang terdapat halangan di hadapan. Ini adalah bagi memastikan para pengguna dan kenderaan berada dalam kedudukan yang selamat bagi tujuan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Maka para pengguna jalan raya disarankan mendapatkan kon-kon keselamatan, yang kini boleh didapati dalam pelbagai bentuk yang mudah dan bersesuaian untuk di simpan dalam kenderaan sebagai kegunaan ketika berlaku kecemasan di lebuh raya.
Sumber : Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia.