PETA LAMAN   :   PAUTAN    B.MELAYU    ENGLISH

concept-image

Kenyataan Akhbar Jabatan Keselamatan Jalan Raya Bersama Media Jkjr Bersama Rakan Kongsi Perhebat Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya

KENYATAAN AKHBAR
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSAMA MEDIA

JKJR BERSAMA RAKAN KONGSI PERHEBAT
KEMPEN ADVOKASI KESELAMATAN JALAN RAYA

22 MEI 2009

Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) bersama rakan kongsi kini terus memperhebatkan kempen advokasi keselamatan jalan raya dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai terhadap isu-isu keselamatan jalan raya.

Kempen advokasi yang berlangsung pada hari ini, di Jalan Ampang - KLCC yang diketuai oleh Datuk Suret Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia dijayakan bersama oleh pihak JPJ, PDRM, LPKP, MIROS, JKR, LLM, DBKL, SIRIM, AAM, DOSH, PERKESO, RSMC, PROTON, PERODUA, dan HONDA.

Program Perkongsian Pintar JKJR Bersama Persatuan Motosikal (MMSDA) dan Pengedar-Pengedar Motosikal

Sehingga kini sebanyak 1084 para pengedar/penjual/bengkel motosikal telah pun dilatih oleh para pegawai JKJR peringkat negeri di seluruh negara dalam usaha mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya di permis-permis jualan melalui pengedaran poster-poster pelbagai bahasa dan panduan-panduan keselamatan sebagai pendedahan dan pendidikan awal kepada golongan penunggang dan pembonceng motosikal.

Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Program Inisiatif Topi Keledar Kebangsaan serta Program Inisiatif Pejalan Kaki

Pelaksanaan kempen advokasi keselamatan jalan raya pada hari ini, mensasarkan tiga golongan pengguna jalan raya yang berisiko tinggi yang meliputi golongan pemandu kereta bagi penguatkuasaan undang-undang pemakaian tali keledar depan dan belakang, golongan penunggang dan pembonceng motosikal bagi program gantian topi keledar dan sesi khidmat nasihat serta golongan pejalan kaki bagi penggunaan lintasan yang betul.

Berdasarkan statistik tahunan, jumlah kematian jalan raya yang melibatkan golongan pejalan kaki bagi tahun 2007 merekodkan 636 kes kematian berbanding 598 kes kematian pada tahun 2008, iaitu penurunan sebanyak 6%. Manakala bagi Januari - April tahun 2008 sebanyak 228 kes kematian dicatatkan berbanding 203 kes kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2009, iaitu penurunan sebanyak 11%.

Kempen bersepadu keselamatan jalan raya JKJR bersama akan kongsi ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman para pengguna jalan raya terhadap keutamaan amalan budaya selamat dan pematuhan undang-undang ketika di jalan raya ke arah menyumbang meminimakan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara kita.

 

Sumber : Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia.


Arkib Kenyataan Akhbar