
TEKS UCAPAN
KETUA PENGARAH
JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN BUKU GARIS PANDUAN
KELAB KESELAMATAN JALAN RAYA
13 FEBRUARI 2009
DORSETT REGENCY KUALA LUMPUR
Y.Bhg. Datin Asariah bt. Mior
Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan
Mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Puan Noorizah hj. Abd. Hamid
Pengarah Urusan Plus Expressways Berhad
Para Tetamu Kehormat
Peserta Bengkel Guru Penasihat Kelab Keselamatan Jalan Raya
Pihak media
Tuan-tuan dan puan puan para hadirin sekelian
Selamat pagi dan salam sejahtera
Saya amat gembira kerana dapat bersama di majlis yang penuh bermakna pada pagi ini bagi sama-sama melancarkan buku Garis Panduan Kelab Keselamatan Jalan Raya bagi sekolah rendah dan sekolah menengah.
Terima kasih diucapkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan pegawai-pegawai daripada Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program Kelab Keselamatan Jalan Raya yang dijangka menjadi pemangkin dan landasan bagi memperhebatkan dan merancakkan aktiviti-aktiviti sampingan keselamatan jalan raya bagi menyokong program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah.
Tahniah diucapkan kepada Urusetia Kelab Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya yang telah bekerja dengan gigih dan bertungkus lumus dalam memastikan penganjuran program ini berjalan dengan lancar.
Sekalung penghargaan juga kepada pihak Plus Expressways Berhad di atas komitmen mereka yang berterusan amnya kepada setiap program keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan khususnya pada program hari ini.
Saya juga ingin mengalu-alukan kedatangan guru-guru penasihat Kelab Keselamatan Jalan Raya dari serata pelusuk Semenanjung Malaysia yang hadir bersama dalam menjayakan program kita pada hari ini.
Tuan tuan dan puan puan,
Pendidikan keselamatan jalan raya telah dikenalpasti sebagai strategi utama daripada sembilan strategi yang dikenalpasti di dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010. Aktiviti utama di bawah strategi ini ialah penyediaan dan pengajaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya dalam subjek Bahasa Malaysia yang mana telah mula di ajar kepada murid Tahun 1 pada tahun 2008 dan pada tahun ini akan dikembangkan kepada murid Tahun 2 dan Tahun 4. disamping itu projek rintis modul PKJR dalam BM bagi murid Tahun 3, 5 dan Tingkatan 1 di enam daerah yang telah dikenalpasti akan dibuat bermula pertengahan tahun ini sebelum dimurnikan semula untuk pelaksanaan seluruh Negara pada tahun hadapan.
Disamping pengajaran di dalam kelas yang kebanyakannya dalam bentuk teori, pihak Jabatan menyedari bahawa perlu juga latihan praktikal di luar kelas bagi memberi peluang murid-murid untuk mengaplikasi pengajaran yang diterima di dalam kelas. Oleh yang demikian, Jabatan ini telah memulakan perbincangan pada tahun lepas dengan Bahagian Sukan, Seni dan Kurikulum di mana antara keputusan yang dipersetujui bersama iaitu mengembangkan Kelab Keselamatan Jalan Raya di semua peringkat sekolah dan mengadakan satu buku garis panduan bagi menyelaras dan memantapkan penubuhan Kelab Keselamatan Jalan Raya di sekolah-sekolah.
Tuan-tuan dan puan puan,
Sebanyak dua mesyuarat pemurnian telah diadakan pada bulan April 2008 bagi membentuk dua buku garis panduan Kelab Keselamatan Jalan Raya iaitu satu bagi sekolah rendah dan satu lagi bagi sekolah menengah. Lebih kurang 30 orang telah berkumpul yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan rakan-rakan swasta daripada Plus Expressways Berhad, Petrosains dan UMW Toyota telah memberi input dan merangka draf buku garis panduan.
Plus Expressways Berhad telah bermurah hati untuk membantu mencetak edisi pertama buku garis panduan tersebut sejumlah 11 ribu naskah bagi semua sekolah di Malaysia dan seterusnya membantu dalam penganjuran bengkel Guru Penasihat Kelab Keselamatan Jalan Raya di tiga peringkat iaitu peringkat Semenanjung pada hari ini, peringkat Sabah pada 20hb Februari dan peringkat Sarawak pada 27hb Februari ini. Pihak PLUS bukan sahaja terlibat di dalam program ini sahaja, bahkan PLUS ialah antara rakan strategik JKJR yang telah memeterai Memorandum Persefahaman bagi menjayakan pelbagai program keselamatan jalan raya seperti advokasi isu-isu keselamatan jalan raya di rangkaian lebuh raya PLUS.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Program pendidikan keselamatan jalan raya merupakan program intervensi jangka panjang bagi melahirkan generasi baru pengguna jalan raya yang berhemah. Hasil program ini hanya akan dilihat dalam tempoh 10 tahun akan datang apabila murid-murid daripada generasi program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah menjadi pengguna jalan raya. Kanak-kanak sekolah di bawah program ini dijangka akan mengingatkan ibu bapa mereka supaya mengamalkan petua-petua keselamatan jalan raya seperti memakai topi keledar dan mengikatnya dengan kemas, menggunakan tali keledar depan dan belakang serta amalan pemanduan berhemah seperti memandu mengikut lorong dan mengelakkan memotong barisan.
Jabatan ini juga sedang melaksanakan program berasaskan komuniti di peringkat negeri dan daerah yang dipimpin oleh Pengarah JKJR Negeri bagi menyokong Pendidikan Keselamatan Jalan Raya di sekolah seperti contoh program Warden Trafik Sekolah dan Traffic Heroes Club dengan kerjasama UMW Toyota, program Street Smart anjuran Petrosains dan program Safe Route to School dan Traffic Calming dari aspek kejuruteraan jalan agar jalan-jalan menghala sekolah dilengkapi dengan papan tanda amaran yang secukupnya, kemudahan lorong pejalan kaki dan lintasan belang, tempat menunggu bas sekolah yang selamat, perabut jalan yang selamat seperti road hump dan speed breaker bagi memperlahankan kenderaan yang melalui kawasan sekolah dan had laju seragam iaitu tidak melebihi 40 km/j.
Tuan-tuan dan puan-puan
Disamping inisiatif yang telah dilaksanakan, adalah menjadi harapan saya supaya penglibatan PIBG sekolah, Guru Besar, guru-guru dan pihak penyelia dalam kempen membina budaya selamat dan berhemah di persekitaran sekolah dapat dipergiatkan untuk mencegah amalan menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen memandu yang sah dan tidak memakai topi keledar. Dengan adanya penglibatan PIBG sekolah, Guru Besar, guru-guru dan pihak penyelia dalam aktiviti pemantauan dan pencegahan amalan yang tidak selamat dan berhemah bersama-sama dengan JKJR di negeri-negeri dalam menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara turun padang melalui advokasi dan bersemuka, saya percaya usaha untuk menanam nilai-nilai murni dan berhemah di jalan raya di kalangan murid sekolah akan menghasilkan impak yang disasarkan di bawah program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan semua warga Kementerian Pelajaran di atas sokongan berterusan dalam menjayakan program pendidikan keselamatan jalan raya dan kelab keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Plus Expressways Berhad kerana sudi membantu dalam percetakan buku garis panduan dan penganjuran program ini. Saya berharap semua peserta bengkel pada hari ini selesa dan dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh penganjur. Selamat berbengkel!
Sekian, terima kasih.
Y.BHG. DATUK SURET SINGH
Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia