
UCAPAN
KETUA PENGARAH JKJR
MAJLIS PENUTUPAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA BAGI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DAERAH GOMBAK
ANJURAN MKJR DAN UNILEVER MALAYSIA
14 MEI 2009
SMK RAWANG, SELANGOR
Y.Bhg. Encik Nik Mustapha Nik Mohamed
Pengarah Sunber Manusia dan Perhubungan Korporat,
Unilever Malaysia;
Y.Berusaha Puan Siti Normah Mohd Yussof
Pegawai Pelajaran Daerah Gombak;
Y.Berusaha Puan Mazlah Haji Hussien
Pengetua SMK Rawang;
Dif-dif jemputan;
Guru-guru, para pelajar, pihak media dan para hadirian sekalian;
Selamat petang dan salam sejahtera.
Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan pihak Unilever (Malaysia) Holding Sdn Bhd selaku penaja utama di atas kejayaan menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya bagi Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Gombak, di bawah agenda Inisiatif Topi Keledar Kebangsaan untuk menggalakkan pemakaian topi keledar dan kegunaannya dengan betul.
Tahniah juga diucapkan kepada pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, MKJR Negeri Selangor, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, PDRM, Honda Malaysia, Institut Memandu Harmony dan khasnya SMK Rawang serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam pelaksanaan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada hari ini.
Matlamat utama program ini ialah ke arah memupuk budaya pemakaian topi keledar yang menepati piawaian SIRIM dan kegunaannya dengan betul bagi mencapai sasaran kegunaan 100% di seluruh Negara, ke arah mencapai matlamat yang disasarkan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 -2010.
Sememangnya program pemakaian topi keledar di bawah Program Inisiatif Topi Keledar Kebangsaan 2007 - 2010, memerlukan sokongan dan kerjasama serta sumbangan daripada pihak swasta dan NGO bagi menaja seberapa banyak topi keledar untuk diagihkan secara percuma kepada golongan penunggang dan pembonceng motosikal di seluruh negara.
Maka pada hari ini para pelajar dan ibubapa di Daerah Gombak amat bertuah kerana pihak Unilever Malaysia telah bermurah hati untuk melaksanakan program berteraskan kemasyarakatan(CBP) dan seterusnya menyumbang sebanyak 350 unit topi keledar kepada para pelajar sekolah di Daerah Gombak bagi menjayakan program ini.
Sumbangan Unilever Malaysia ini ialah di atas tanggungjawab korporat sosial(CSR) bagi tujuan membantu pihak kerajaan dalam usaha menangani isu-isu berkaitan keselamatan jalan raya, terutamanya bagi golongan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.
Penglibatan pihak swasta dalam usaha menangani isu-isu berkaitan keselamatan jalan raya adalah amat digalakkan dan merupakan salah satu daripada 9 strategi yang terkandung dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 - 2010.
Maka penglibatan dan sumbangan pihak swasta seperti Unilever Malaysia dalam usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya adalah amat disanjung tinggi dan seharusnya dicontohi  oleh syarikat swasta lain, ke arah meminimakan kadar kemalangan injuri dan maut yang perlu dipikul bersama baik oleh pihak kerajaan, swasta dan NGO.
Usaha dan kempen pada hari ini amat penting, bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah dari rebungnyaâ€, iaitu memberi pendidikan dan pendedahan awal kepada para pelajar sekolah amat penting dalam usaha melahirkan generasi baru yang sentiasa mengutamakan dan menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai budaya serta amalan dalam kehidupan seharian.
Pelaksanaan program pada hari ini juga turut mendedahkan dan menerapkan para pelajar terhadap aspek-aspek penting melalui ceramah-ceramah yang telah disampaikan meliputi penguatkuasaan undang-undang oleh PDRM, isu-isu keselamatan jalan raya oleh JKJR, demonstrasi menunggang motosikal cara selamat oleh Honda Malaysia dan tatacara permohonan lesen memandu oleh Institut Memandu Harmony.
Maka melalui program hari ini, Jabatan Keselamatan Jalan Raya berharap tahap kesedaran dan kefahaman di kalangan pelajar sekolah khususnya di Daerah Gombak terhadap kepentingan topi keledar sebagai satu-satunya alat yang boleh melindungi bahagian kepala penunggang dan pembonceng motosikal akan meningkat.
Sokongan Pengetua, Guru Besar dan guru-guru yang bertanggungjawab terhadap hal-hal disiplin para pelajar untuk melaksanakan arahan ini adalah sangat penting bagi menjayakan program ini.
Di samping itu peranan dan kerjasama para ibubapa dan guru-guru  amat diperlukan untuk menasihati serta memastikan hanya anak-anak dan para pelajar mempunyai lesen memandu yang sah sahaja dibenarkan menunggang motosikal ke sekolah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Statistik bagi tahun 2008, merekodkan sebanyak 3898 kes kematian atau 60% yang membabitkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal daripada jumlah keseluruhan kematian jalan raya iaitu 6527 kes kematian.
Kajian MIROS juga mendapati bahawa 68% daripada jumlah kematian di kalangan golongan penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan oleh kecederaan di bahagian kepala.Â
Oleh itu, adalah sangat penting bagi setiap penunggang dan pembonceng motosikal memakai topi keledar yang menepati piawaian SIRIM dan kegunaannya dengan betul untuk setiap perjalanan jauh atau dekat bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian jika terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Maka usaha pihak kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan dalam negara kita, sememangnya memerlukan penglibatan dan penyertaan serta sokongan padu semua lapisan masyarakat terutamanya para majikan, pemimpin masyarakat, ahli politik, pemimpin agama, para pendidik, badan professional, sektor swasta NGO, PIBG Sekolah serta orang ramai bagi mencapai matlamat untuk meminimakan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.
Akhir kata sekalung penghargaan dan tahniah kepada pihak MKJR dan Unilever Malaysia serta semua pihak yang telah berganding bahu bagi menjayakan program ini, terima kasih kerana begitu prihatin terhadap isu-isu keselamatan jalan raya terutamanya yang melibatkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal.
Semoga program ini akan menjadi agenda tahunan pihak Unilever Malaysia bersama MKJRdi bawah agenda tanggungjawab korporat sosial(CSR). Adalah diharapkan melalui Kempen Keselamatan Jalan Raya ini, akan mampu menyumbang bagi mencapai matlamat yang ditetapkan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 – 2010 bagi pengurangan kematian akibat kemalangan jalan raya dengan kadar 50% menjelang tahun 2010 akan tercapai.
Sekian, terima kasih.
Datuk Suret Singh