Jabatan Keselamatan Jalan Raya (Ibu Pejabat) telah di tubuhkan pada 2004 melalui Waran Perjawatan Bil. K 78 bertarikh 15 September 2004 yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia. Kali terakhir JKJR membuat penyusunan semula adalah pada Mei 2006 melalui Waran Perjawatan Bil. K 37 bertarikh 11 Mei 2006 di mana JPA telah meluluskan penubuhan JKJR Negeri dengan keseluruhan perjawatan sebanyak 98 jawatan dan 1 jawatan Penolong Pegawai Perangkaan di peringkat Ibu Pejabat. Pada 16 Februari 2007, Waran Perjawatan untuk 14 jawatan pemandu di JKJR Negeri telah diluluskan. Jumlah perjawatan sedia ada di JKJR Ibupejabat pada masa sekarang adalah sebanyak 32 dan JKJR Negeri adalah sebanyak 112.
JKJR sedang menghadapi beberapa cabaran yang serius untuk melaksanakan program yang dirancangkan dan sasaran yang telah ditetapkan di bawah Rancangan 5 Tahun. Dalam tempoh setahun penubuhan, JKJR telah berjaya mengurangkan peningkatan kadar kematian jalan raya sebanyak 4.2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada tahun 2005 kepada 3.95 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada tahun 2006. Di samping itu, jumlah kemalangan ringan yang melibatkan kecederaan telah menurun sebanyak 11,454 di antara tahun 2005 dan 2006 di mana pada tahun 2005 jumlah kemalangan adalah sebanyak 31,429 dan sebanyak 19,884 pada tahun 2006. Jabatan ini telah merangka Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 dan ianya telah dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya pada 15 Mei 2006. |