Sempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak berapa lama lagi, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit panduan keselamatan jalan raya yang boleh diambil perhatian oleh pengguna jalan raya kerana kita tahu apabila tibanya satu-satu musim perayaan di negara kita maka akan juga berlaku pertambahan mendadak bilangan kenderaan di jalan raya berbanding hari-hari biasa. Keadaan ini akan menyebabkan kesesakan lalulintas dan mengundang pelbagai kerenah dan sikap pemandu yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

 1. Pertama, Rancang Perjalanan Anda

• Periksa kenderaan anda – pastikan tayar dalam keadaan baik. Pastikan tekanan angin sentiasa mencukupi termasuklah pada tayar ganti. Jangan sekali-kali kita gunakan tayar yang bunganya sudah haus atau pun botak. Selain tayar, brek dan lampu isyarat juga haruslah dipastikan berfungsi dengan baik.

• Keadaan mental dan fizikal sebagai pemandu - jika anda dalam keadaan letih, mengantuk atau pun dibawah pengaruh ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk. Pastikan anda mendapatkan rehat yang secukupnya terutama sebelum memulakan perjalanan yang panjang. Sekiranya tidak, eloklah ditangguhkan dahulu perjalanan anda.

• Berhenti di setiap 2 jam perjalanan

2. Kedua, Sentiasa Patuhi Had Laju Yang Telah Ditetapkan

Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.


- Lebuhraya : 110km/j
- Jalan Persekutuan/Negeri : 90km/j diturunkan kepada 60km/j di kawasan bandar
- Kawasan sekolah : 30km/j

• Jangan memandu melebihi had laju dan perlahankan kenderaan sekiranya memandu di dalam cuaca hujan.
Jika memandu dalam keadaan cuaca basah had laju kenderaan perlulah dikurangkan 50% kerana keadaan jalan yang licin melambatkan kereta untuk berhenti jika membrek dan jarak penglihatan juga terjejas.

Untuk meningkatkan kebolehlihatan semasa memandu di dalam hujan, pasangkan lampu kenderaan dan bukannya lampu kecemasan.

3. Ketiga, Patuhi Peraturan Keselamatan Semasa Menukar Lorong
• Berikan isyarat dan periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang sebelum melakukan pertukaran lorong. Sebaik-baiknya cermin sisi dilaraskan 90’ untuk mengecilkan titik buta agar kenderaan di sekitar dapat dilihat dengan lebih lama.

4. Keempat, Patuhi Peraturan Jalan Raya Di Persimpangan
• Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di persimpangan dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki. Apabila lampu isyarat bertukar hijau pastikan keadaan laluan selamat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.

6. Kawal emosi anda di jalan raya.

Apakah emosi yang sering dikaitkan dengan pengguna jalan raya?
- tidak sabar, gelisah, cepat marah dan sebagainya.

Sebagai contoh, kesesakan lalulintas akan menyebabkan pengguna jalan raya berasa gelisah kerana keperluan untuk sampai ke destinasi dalam masa tertentu. Dan sekiranya mereka ini terperangkap di dalam kesesakan lalulintas dalam tempoh yang terlalu lama maka rasa marah pula akan timbul.

Contoh kedua, melihat kenderaan yang perlahan di hadapan, pengguna cenderung sama ada mampu mengawal diri atau tidak, dan kemudian menjangkakan sama ada mereka sempat memotong atau tidak kenderaan di hadapan.

Keadaan ini kemudian dihimpit pula oleh persepsi bahawa mereka kesuntukan masa dan perlu sampai ke destinasi dalam masa tertentu.
Apa yang perlu dibuat?
Sekiranya kita menafsirkan kesesakan lalu lintas sebagai satu masalah, maka tindakan kita akan terarah untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Sebab itulah, ada pengguna yang mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tadi dengan memandu secara laju atau memotong barisan di lorong kecemasan.
Hakikatnya, ia mungkin satu kaedah penyelesaian masalah yang menimbulkan masalah yang lebih besar.
Jadi adalah lebih baik jika kita lebih bersabar dan menerima hakikat bahawa apa yang kita lalui itu juga dihadapi oleh pengguna jalan raya yang lain.
7. Selain daripada itu, kami juga berharap supaya pengguna-pengguna jalan raya yang menaiki kereta tidak memandang ringan kepada pemakaian tali keledar depan dan belakang. Pemakaian tali keledar ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jika berlakunya kemalangan.

Perlu diingatkan bahawa apabila penumpang belakang tidak memakai tali keledar dan berlakunya perlanggaran pada kelajuan biasa 50 hingga 60km sejam sekali pun, penumpang belakang akan terhumban ke hadapan dengan kekuatan 40 kali daripada berat badannya. Justeru itu, penumpang belakang yang tidak memakai tali keledar boleh menjadi punca kecederaan parah atau kematian pemandu atau penumpang di hadapan.

Ibu bapa pula pastikan anak-anak anda juga menggunakan tali keledar. Bagi anak-anak yang berumur bawah 12 tahun sediakan tempat duduk keselamatan kanak-kanak yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

8. Bagi golongan penunggang dan pembonceng motosikal pula, adalah dinasihatkan supaya anda sentiasa menggunakan jaket keselamatan yang berwarna cerah serta dilengkapi dengan bahan pemantul cahaya bagi menambahkan kebolehlihatan (visibility) anda kepada pengguna-pengguna lain di jalan raya terutama pada waktu malam.

Pakai topi keledar dan ikatlah dengan kemas bagi melindungi anda dari kecederaan di bahagian kepala. Jika penggunaan topi keledar dengan betul dapat dibudayakan sebagai amalan harian bagi setiap perjalanan oleh semua penunggang dan pembonceng motosikal pasti kes cedera parah dan maut bagi golongan yang paling terdedah kepada risiko kemalangan ini akan dapat dikurangkan.

9. Selain daripada itu, merancang perjalanan kita dengan baik adalah sangat penting. Cuba elakkan memandu di saat-saat akhir kerana ini akan menjurus kita untuk bersikap terburu-buru dan sekiranya wujud kesesakan lalu lintas maka kita akan lebih mudah untuk menjadi stress.

10. Dan yang terakhir, kita perlu tanamkan sifat penyabar dan berhemah ketika di jalan raya seperti memberi laluan kepada pengguna lain dan memandu mengikut peraturan jalan raya.

Akhir kata, pesanan daripada kami, Pandu Selamat, Tunggang Selamat dan Jalan Dengan Selamat. Anda Mampu Mengubahnya.

Sekian. Terima kasih.

FaLang translation system by Faboba