logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YB LOKE SIEW FOOK,

MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN OPS BERSEPADU DAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI  PERINGKAT KEBANGSAAN

TAHUN 2019

AEON MALL NILAI, NEGERI SEMBILAN

26 Mei 2019 (Ahad) 

2.00 hingga 3.30 petang

Terima kasih Saudari Pengacara Majlis.

YBhg. Datuk Mohd Khairul Adib bin Abd Rahman

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia

YBhg. Datuk Seri Abdul Hamid bin Bador

Ketua Polis Negara

YBhg. Dato' Hj. Rosli bin Isa

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR)

YBhg. Dato’ Sri Shaharuddin bin Khalid

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

YBhg. Datuk Suret Singh

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros)

Encik Ng Eng Kiat

Pengerusi AEON Credit Service (M) Bhd.

Ketua-ketua Jabatan,

Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan,

Rakan-rakan media dan

para hadirin hadirat sekalian.

           

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

Pada pagi ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih pada para hadirin kerana dapat hadir di Majlis Pelancaran Ops Bersepadu Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) yang merupakan penyelaras utama OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini yang telah berjaya diadakan pada kali ke-6 pada tahun ini semenjak tahun 2014.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berganding bahu bagi menjayakan OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada kali ini bermula pada hari ini hingga 12 Jun 2019. OPS ini akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), JPJ, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), MIROS serta pihak swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan yang tidak dapat disebut satu persatu disini secara yang bekerjasama bersepadu untuk mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya semasa musim perayaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,                                                     

  1. OPS Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada tahun ini akan bertemakan “Pandu Cermat, Sampai Selamat” yang mana tema sama digunakan semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya pada sambutan perayaan tahun yang lalu dan telah dipersetujui untuk terus digunakan sekali lagi bagi semua kempen pada musim perayaan yang akan datang supaya ianya sentiasa dapat dihayati dan mudah diingati oleh semua pengguna jalan raya. Kali ini, ia merangkumi 4 program utama iaitu program pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian dengan fokus utama menurunkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan ini.

  1. OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada kali ini dibuat dengan sedikit kelainan, tidak seperti Majlis Pelancaran OPS Bersepadu bagi perayaan sebelum ini di mana ianya dibuat di Kawasan Rehat dan Rawat, lebuhraya Utara-Selatan, namun pada Majlis Pelancaran sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini diadakan di AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan dan jutaan penghargaan diucapkan kepada pihak pengurusan AEON iaitu AEON Credit Services (M) Berhad selaku penganjur bersama dan sudi menyediakan tempat dan kemudahan bagi membolehkan Majlis Pelancaran pada perayaan kali ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Majlis Pelancaran pada kali ini juga julung-julung kali diadakan di pusat beli-belah AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan iaitu kawasan strategik yang menjadi tumpuan orang awam semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran orang awam selaku pengguna jalan raya berhubung keselamatan jalan raya melalui melalui aktiviti dan kempen keselamatan jalan raya yang akan diadakan sepanjang hari ini.

  1. Untuk makluman para hadirin sekalian, Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina tahun 2019 telah merekodkan sebanyak 20,829 kemalangan dan angka ini berkurang daripada jumlah kemalangan tahun 2018 iaitu 21,041. Untuk tempoh yang sama, sebanyak 197 kematian akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan berbanding 208 kematian pada tahun 2018 di mana terdapat penurunan sebanyak 11 kes kematian. Pada pandangan saya angka kematian 197 pengguna jalan raya untuk tempoh dua minggu semasa musim perayaan adalah masih tinggi dan harapan saya adalah supaya semua pihak yang terlibat termasuklah pengguna-pengguna jalan raya berusaha untuk mengurangkan angka ini.

  1. Berdasarkan kepada statistik yang lepas, kebanyakkan kemalangan jalan raya berlaku di jalan-jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar. Oleh itu, saya mengharapkan agar pihak PDRM dan JPJ akan memberi tumpuan kepada operasi mereka di jalan-jalan ini dan penguatkuasaan perlu dibuat dengan lebih banyak kepada motosikal kerana ia menyumbang kepada 63% kemalangan maut. Penggunaan topi keledar di bandar-bandar kecil langsung tidak dipandang serius dan perlu diberi perhatian kerana saya dimaklumkan hampir 35% penunggang jalan raya tidak menggunakan topi keselamatan dan ini menyebabkan kemalangan maut. Dalam usaha ini, kerjasama di antara Kerajaan Negeri, Majlis Kerajaan Tempatan serta agensi-agensi penguatkuasa di peringkat negeri juga harus dipertingkatkan bagi memastikan jumlah kemalangan dapat dikurangkan pada tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya akan pastikan penguatkuasaan undang-undang jalan raya akan diperketatkan lagi sepanjang tempoh pelaksanaan OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya ini bagi memastikan pegerakan kenderaan dengan lebih selamat dan terkawal serta bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Antara program-program penguatkuasaan

OPS Hari Raya Aidil Fitri (OPS HRA) 2019 yang dibuat oleh JPJ yang akan diadakan dari  29 Mei hingga 13 Jun 2019 dimana JPJ akan menempatkan Pasukan Penguatkuasaan JPJ di Kawasan R&R dan Hentian Sebelah yang terpilih bertujuan menjalankan pemeriksaan secara rawak.

Hadirin Sekalian,

ADVOKASI KHAS OLEH SYARIKAT-SYARIKAT SWASTA

Penglibatan pihak swasta dan bukan kerajaan dalam kempen keselamatan jalan raya sentiasa dialu-alukan bagi memantapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Saya berasa begitu gembira melihat perkembangan positif ini dan sekalung penghargaan yang tidak terhingga saya sampaikan kepada beberapa syarikat swasta yang telah menyumbang dalam usaha murni pada tahun ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak AEON Berhad yang telah memberi kemudahan logistik bagi majlis pelancaran ini.

Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan syarikat-syarikat swasta turut sensetif dengan isu-isu kemalangan jalan raya ini dan mengambil langkah positif dengan membuat kerjasama strategik dengan pihak Kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya, JPJ, PDRM dan pelbagai agensi lain dalam merangka aktiviti advokasi kepada rakyat. Antara rakan strategik kita yang turut serta sepanjang musim perayaan ini adalah Petronas Dagangan Berhad (PETRONAS) yang akan melaksanakan Kempen Coffee Break secara berperingkat bermula 31 Mei hingga 9 Jun 2019; Shell Malaysia akan menganjurkan program Corporate Social Responsibility (CSR) 2019 yang akan diadakan selama 10 hari bermula pada 30 Mei hingga 8 Jun dimana 1 sen untuk setiap liter minyak petrol yang dipam dan setiap ringgit akan disalurkan kepada 3 badan kebajikan yang terpilih.

Pihak Petron Malaysia turut  akan melaksanakan program pemeriksaan keselamatan kenderaan dengan kerjasama Michelin Malaysia, Robert Bosch dan Honda Malaysia bermula 3 Mei hingga 29 Mei 2019 di 26 stesen Petron terpilih di seluruh  negara. Dan Katsana Holding Berhad akan mengadakan Program DriveMark #DriveSaferlah Raya Challenge dari 6 Mei hingga 7 Julai 2019 untuk memupuk sikap pemanduan berhemah.

Saya menyeru lebih banyak syarikat dapat bersama-sama terlibat dalam mempromosikan budaya memandu yang tertib kerana kehilangan satu nyawa merupakan kehilangan seorang pengguna atau pelanggan yang menggunakan produk atau perkhidmatan kita.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

KAJIAN PENILAIAN

Impak pelaksanaan sesuatu kempen tidak akan dapat dibuktikan jika tiada penilaian dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, saya mengucapkan syabas kepada  Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang akan melaksanakan kajian penilaian keberkesanan programa OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini sebelum dan semasa tempoh OPS dilaksanakan. Diharap hasil penilaian ini mampu memberi panduan dalam pelaksanaan OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya akan datang.

Program Sepanjang Majlis Pelancaran OPS Bersepadu dan Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya

Sebagaimana umum sedia maklum, penggunaan kerusi keselamatan untuk bayi dan ka­nak-kanak dalam kereta akan di­­wa­jibkan pada 2020 bagi tujuan keselamatan sekaligus bagi mengurangkan kadar kecederaan atau kematian akibat kemalangan jalan raya;

Sebagai langkah permulaan, JKJR bersama-sama agensi kerajaan dan swasta telahpun mula mengadakan kempen advokasi bermula tahun ini sebelum penguatkuasaan pada tahun 2020. Dalam tempoh tersebut, orang awam akan diberi pendedahan berhubung kepentingan menggunakan kerusi keselamatan bayi dan ka­nak-kanak sebelum peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan.

Melalui penganjuran Majlis Pelancaran ini juga, sesi pemeriksaan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) akan diadakan supaya orang awam khususnya ibu bapa dapat mempelajari dan mempraktikkan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak dengan cara yang betul semasa pemanduan pulang ke kampung ketika musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Akhir kata, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya, pandulah dengan berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan statistik kemalangan jalan raya. Marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan kejadian kemalangan akibat dari sikap dan kelalaian kita sendiri.

Sebelum saya akhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, agensi kerajaan, swasta dan NGO yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen ini. Jangan sesekali kita berasa penat untuk menjalankan advokasi keselamatan jalan raya.

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua.

Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena dengan Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan  2019.

Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.

“Pandu Cermat, Sampai Selamat”

Sekian, terima kasih.

Topik Terhangat