logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN

YB LOKE SIEW FOOK

MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

PERASMIAN

MAJLIS PELANCARAN MODUL PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA (PKJR) BAGI SEKOLAH RENDAH PERINGKAT KEBANGSAAN

Dewan Putra Hall B2, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

28 Februari 2019 (Khamis) 

9.30 pagi hingga 10.30 pagi

Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis.

Yang Berhormat Dr. Maszlee bin Malik

Menteri Pendidikan Malaysia

Yang Berbahagia Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia

Yang Berbahagia Dato' Hj. Rosli bin Isa

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR)

Yang Berusaha Dr. Siti Zaharah binti Ishak

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

Yang Berusaha Tuan Shaari bin Osman

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan)

Rakan-rakan media.           

Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera.

  1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia yang sudi hadir bersama dalam Majlis Perasmian Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan.

  1. Ucapan terima kasih juga kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kerjasama bagi menjayakan majlis ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,                                                     

  1. Kementerian Pengangkutan memandang serius isu kemalangan jalan raya di Malaysia yang merekodkan angka nahas secara purata 19 nyawa setiap hari. Apa yang amat menyedihkan saya ialah dalam tempoh 10 tahun yang lepas, seramai 67,882 orang yang telah terkorban di jalan raya.  Mereka ini terdiri di kalangan anak-anak muda kita, begitu juga yang mengalami cedera parah dan  pada tahun 2018, sebanyak 6,284 pengguna jalan raya terkorban akibat kemalangan jalan raya berbanding 6,740 pada tahun 2017. Walaupun angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 6.8%, namun jumlah kematian dan dalam aspek sosio-ekonomi negara mengalami kerugian melebihi 9 bilion setiap tahun.

  1. Golongan muda dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun mencatatkan jumlah kematian tertinggi sejak 10 tahun yang lalu di mana lebih 2,000 orang setahun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Senario kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya pada hari ini adalah pada tahap yang sangat kritikal dan membimbangkan. Menyedari hakikat itu, Kementerian Pengangkutan telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian di jalan raya melalui program-program advokasi, penyelidikan, penggunaan teknologi dan penguatkuasaan yang lebih tegas.

  1. Susulan dengan itu, Kementerian Pengangkutan telah memberi tumpuan kepada pembudayaan pemanduan di jalan raya dengan lebih bersopan dan bertimbang rasa ke arah melahirkan pengguna jalan raya yang lebih selamat. Salah satu usaha yang sedang dijalankan adalah pelaksanaan program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) melalui kerjasama pintar bersama Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini telah bermula sejak tahun 2007 lagi di sekolah-sekolah rendah dan telah dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah rendah mulai tahun 2012.

  1. PKJR merupakan satu modul mengenai keselamatan jalan raya yang diajar secara penyerapan dalam subjek Bahasa Melayu di semua sekolah rendah dan menengah rendah. Objektif utama pelaksanaan PKJR adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan murid sekolah yang bakal menjadi generasi pengguna jalan raya pada masa hadapan.

  1. Anak-anak kita harus dididik dan dilentur sejak kecil lagi mengenai kepentingan keselamatan jalan raya supaya ia menjadi budaya mereka, ibarat pepatah orang melayu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Murid-murid ini diajar mengenai ilmu keselamatan jalan raya secara berperingkat dari Tahun 1 hingga Tahun 6 yang merangkumi pengenalan tanda-tanda isyarat lalu lintas, prasarana jalan raya, cara melintas yang selamat, pengenalan kepada jenis kenderaan dan lain-lain ilmu yang boleh membantu mereka menjadi pengguna jalan raya yang lebih peka dan berwaspada.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Pada tahun 2016, Kementerian Pengangkutan melalui JKJR telah menerima peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk mengkaji semula kandungan Modul PKJR agar ianya selari dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah telah berjaya dibangunkan hasil kolaborasi pintar bersama MIROS, Kementerian Pendidikan Malaysia dan pemegang-pemegang taruh lain yang turut terlibat dalam usaha ini.

  1. Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah ini telah ditambah baik dari segi kandungan pembelajaran, ilustrasi grafik, teks yang disesuaikan dengan tahap murid sekolah dan pengenalan kepada pembelajaran interaktif melalui bahan bantu mengajar seperti video, audio dan animasi.

Hadirin sekalian,

  1. Sebagai persediaan pelaksanaan modul ini, hampir 15 ribu guru Bahasa Melayu sekolah rendah di seluruh negara telah berjaya dibimbing mengenai kaedah penyerapan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah pada tahun lepas. Diharap dengan bimbingan ini, para guru yang terlibat dapat menyampaikan ilmu PKJR dengan lebih berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu. Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah ini telah mula diajar di semua sekolah rendah mulai Januari tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa JKJR dan MIROS telah memenangi anugerah berprestij Prince Michael International Road Safety Awards bagi Projek PKJR. Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh His Royal Highness Prince Michael of Kent pada 11 Disember 2018 di London, United Kingdom. Penganugerahan ini diberi di atas kejayaan Projek PKJR mengintegrasikan modul keselamatan jalan raya ke dalam KSSR di Malaysia. Anugerah ini merupakan pengiktirafan awam terhadap pencapaian dan inovasi yang paling cemerlang di peringkat antarabangsa.

  1. Anugerah ini akan memperkukuhkan lagi pelaksanaan PKJR di sekolah rendah bagi memastikan keselamatan jalan raya menjadi budaya dalam kalangan warga Malaysia dan seterusnya membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. PKJR ini juga akan dilanjutkan pelaksanaannya ke peringkat taska dan prasekolah pada tahun 2020 dan seterusnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kejayaan pelaksanaan PKJR di sekolah rendah tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama padu daripada rakan sejawat saya iaitu YB Dr. Maszlee bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia dan pegawai-pegawai KPM termasuk guru-guru sekolah rendah yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek PKJR demi anak bangsa kita yang tercinta. Oleh itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan berharap agar usaha yang murni ini dapat diteruskan rantaian perjuangannya demi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya Malaysia.

  1. Bagi anak-anak murid yang hadir pada hari ini, anda merupakan perintis kepada generasi pengguna jalan raya yang berhemah pada masa hadapan. Harapan saya menjelang tahun 2030, budaya pengguna jalanraya akan mengalami perubahan kepada budaya baharu seperti negara maju yang lain.
  2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang telah bekerjasama untuk menjayakan projek PKJR ini.

  1. Maka dengan ini, sukacitanya saya menyerahkan secara rasminya Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Semakan Sekolah Rendah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meneruskan pelaksanaan PKJR di semua sekolah rendah di seluruh negara.

  1. Dengan ini, saya akhiri ucapan saya dengan tagline PKJR                                  “Waspada Budaya Kita”.

Sekian, terima kasih.

Topik Terhangat