logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN PERASMIAN

YB LOKE SIEW FOOK,

MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN OPS BERSEPADU DAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA BERSEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA  PERINGKAT KEBANGSAAN

TAHUN 2019

Kawasan Rehat dan Rawat (RnR), Dengkil (Arah Selatan).

29 Januari 2019 (Selasa) 

11.00 Pagi

Terima kasih Saudari Pengacara Majlis.

YBRs. Tuan Mohd Khairul Adib Abd Rahman

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia.

YBhg. Dato’ Rosli bin Isa,

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR).

YBhg. Dato’ Sri Shaharuddin bin Khalid

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Supt. Zakaria Bin Abd Rahman

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT

YBhg. Tan Sri Lee Lam Thye

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

YBhg. Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim

Pengerusi PLUS

YBrs. Encik Anthony Lee Fook Weng

Pengerusi PIAM

YBhg. Dato’ Abdul Wahab Bin Hj. Mat Yasin

Pengarah Bahagian Operasi BOMBA

Ketua-ketua Jabatan,

Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan,

Rakan-rakan media dan

para hadirin hadirat sekalian.

         

Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

Pada pagi ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih pada semua para hadirin kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Pelancaran Ops Bersepadu Dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina 2019.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) yang merupakan penyelaras utama OPS Bersepadu ini yang telah berjaya diadakan pada kali ke-empat pada tahun ini semenjak tahun 2016.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berganding bahu bagi menjayakan OPS Bersepadu di Peringkat Kebangsaan pada kali ini bermula pada hari ini hingga 12 Februari 2019. Jabatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam OPS Bersepadu ini adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, PLUS, MIROS, Jabatan Kecemasan dan Trauma di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya serta agensi-agensi kerajaan lain, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu.

Untuk makluman para hadirin sekalian, hampir sepuluh ribu (10,000) pegawai dan anggota penguatkuasa termasuk 6,040 daripada PDRM, 1,800 daripada JPJ, 150 daripada JKJR serta jabatan dan agensi sokongan yang lain, akan bertugas sepanjang masa dalam tempoh OPS Bersepadu ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik bagi pengguna-pengguna jalan raya. Pihak PLUS juga akan mengerakkan lebih 5,000 petugas untuk memastikan kelancaran dan keselesaan pengguna lebuh raya. Saya juga difahamkan bahawa pihak PDRM dan JPJ telah membekukan cuti pegawai dan anggota mereka sempena kempen dan OPS Bersepadu ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,                                   

OPS Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya pada tahun 2019 adalah bertemakan “Pandu Cermat, Sampai Selamat” yang merangkumi 4 program utama iaitu program pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan bersekali dengan pemantauan dan penilaian. Ia adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan di jalan raya, mengurangkan jumlah kemalangan semasa musim perayaan ini dan turut mengawal selia pergerakan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Untuk makluman para hadirin sekalian, Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina tahun 2018 telah merekodkan sebanyak 21,041 kemalangan berbanding 20,752 kemalangan pada tahun 2017. Untuk tempoh yang sama, sebanyak 226 kematian akibat kemalangan jalan raya telah direkodkan berbanding 257 kematian pada tahun 2017 di mana terdapat penurunan sebanyak 31 kes kematian. Pada pandangan saya angka kematian 226 pengguna jalan raya untuk tempoh dua minggu semasa musim perayaan adalah masih tinggi dan harapan saya adalah supaya semua pihak yang terlibat termasuklah pengguna-pengguna jalan raya berusaha untuk mengurangkan angka ini.  

Berdasarkan kepada statistik yang lepas, kebanyakkan kemalangan jalan raya berlaku di jalan-jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan luar bandar. Oleh itu, saya mengharapkan agar pihak PDRM dan JPJ akan memberi tumpuan kepada operasi mereka di jalan-jalan ini. Dalam usaha ini, kerjasama di antara Kerajaan Negeri, Majlis Kerajaan Tempatan serta agensi-agensi penguatkuasa di peringkat negeri juga harus dipertingkatkan bagi memastikan jumlah kemalangan dapat dikurangkan pada tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kepada para pengguna jalan raya pula, saya menaruh harapan yang tinggi supaya mereka dapat merancang perjalanan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan mereka semasa musim perayaan ini. Sebagai pengguna jalan raya yang berhemah mereka harus mempunyai displin dan etika pemanduan yang tinggi supaya keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain lebih terpelihara dan selamat.  

Suka saya tekankan di sini, bahawa Tujuh (7) kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah melibatkan kesalahan-kesalahan seperti berikut :

  1. Tidak mematuhi lampu isyarat lalu lintas
  2. Memotong di garisan berkembar
  3. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu
  4. Memotong barisan
  5. Tidak memakai tali pinggang keledar
  6. Memandu di lorong kanan secara berterusan
  7. Memandu di lorong kecemasan

Jumlah kes yang melibatkan kesalahan-kesalahan utama ini dicatatkan sebanyak 27,013 pada tahun 2018. Oleh itu, saya menyeru kerjasama semua pengguna jalan raya untuk memastikan mereka mematuhi semua peraturan di jalan raya. Selain itu, Kementerian Pengangkutan juga akan meneruskan dasar tiada sebarang tawaran diskaun ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan oleh JPJ bagi kesalahan lalu lintas dalam musim perayaan ini.

Saya kira penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia kerana jumlah kemalangan jalan raya di negara ini adalah masih tinggi. Dengan purata lebih daripada 6000 nyawa terkorban setiap tahun, langkah drastik perlu diambil termasuk bersikap tegas kepada pesalah-pesalah lalu lintas.

Untuk makluman para hadirin juga, penggunaan tali pinggang keledar belakang, tali pinggang untuk bas-bas ekspress yang baru dan kerusi keselamatan kanak-kanak akan diwajibkan bermula tahun 2020. Oleh demikian, saya menyarankan agar semua pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan ini yang akan dikuatkuasakan nanti.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kawalan dan sekatan dalam tempoh Ops Bersepadu

Seperti setiap tahun, terdapat beberapa kawalan yang akan dilaksanakan menjelang setiap musim perayaan. Ini termasuk larangan ke atas kenderaan barangan tertentu pada 2, 3 dan 4 Februari 2019 (Sebelum) serta 9 dan 10 Februari 2019 (Selepas).

Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kawasan lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri akan dihentikan, semua jentera dan peralatan akan dialihkan sepanjang tempoh operasi ini dijalankan. Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi jalan persekutuan dan jalan negeri bagi tempoh yang sama; (Jalan Persekutuan 80 km/j manakala Jalan Negeri 70 km/j).

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kecemasan dan Trauma dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga akan bersiap sedia selama 24 jam bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan atau nahas yang mungkin berlaku. Bagi maksud tersebut, JBPM dan APM akan membuka bilik gerakan serta mengadakan rondaan dengan memberi tumpuan di kawasan kerap berlaku kemalangan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Advokasi Khas Oleh Syarikat-syarikat Swasta

Penglibatan pihak swasta dan bukan kerajaan dalam kempen keselamatan jalan raya sentiasa dialu-alukan bagi memantapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Saya berasa begitu gembira melihat perkembangan positif ini dan sekalung penghargaan yang tidak terhingga saya sampaikan kepada beberapa syarikat swasta yang telah menyumbang dalam usaha murni pada tahun ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak LLM dan PLUS yang menyediakan pasarana dan telah memberi kemudahan logistik bagi majlis pelancaran ini.

Di antara perkhidmatan-perkhidmatan yang akan ditawarkan oleh rakan-rakan strategik kita adalah seperti Program Coffee Break oleh Petronas Dagangan Berhad, pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh PUSPAKOM SDN BHD, kempen penjagaan motosikal oleh SHELL Malaysia dan pemeriksaan kenderaan 32 Check Point oleh PETRON .

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada pihak PIAM (Persatuan Insuran Am Malaysia) dan MTA (Persatuan Takaful Malaysia) yang telah bekerjasama dengan saya dan JKJR untuk menghasilkan satu video nasihat keselamatan jalan raya yang akan dilancarkan pada hari ini.

Saya menyeru lebih banyak syarikat dapat bersama-sama terlibat dalam mempromosikan budaya memandu yang tertib kerana kehilangan satu nyawa merupakan kehilangan seorang pengguna atau pelanggan yang menggunakan produk atau perkhidmatan kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Akhir kata, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya, pandulah dengan berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan statistik kemalangan jalan raya. Marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan kejadian kemalangan akibat dari sikap dan kelalaian kita sendiri.

Sebelum saya akhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, agensi kerajaan, swasta dan NGO yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen ini. Jangan sesekali kita berasa penat untuk menjalankan advokasi keselamatan jalan raya.

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, saya ingin mengucapkan Selamat tahun Baru Cina kepada semua – GONG XI FA CAI, GONG XI GONG XI

Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena dengan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan  2019.

Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.

“Pandu Cermat, Sampai Selamat”

Sekian, terima kasih.

Topik Terhangat