logo text

Bahasa Lain

aren

Log Masuk

Log Masuk

TEKS UCAPAN

YB DR. MASZLEE BIN MALIK

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

PERASMIAN

MAJLIS PELANCARAN MODUL PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA (PKJR) BAGI SEKOLAH RENDAH PERINGKAT KEBANGSAAN

Dewan Putra Hall B2, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

28 Februari 2019 (Khamis) 

9.30 pagi hingga 10.30 pagi

Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis.

Yang Berhormat Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan Malaysia

Yang Berbahagia Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia

Yang Berbahagia Dato' Hj. Rosli bin Isa

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR)

Yang Berusaha Dr. Siti Zaharah binti Ishak

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)

Yang Berusaha Tuan Shaari bin Osman

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Operasi Pendidikan)

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

           

Bismillahirrahmanirrahim.

  1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya dapat kita bersama-sama berkumpul pada pagi yang berbahagia ini dalam Majlis Perasmian Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan.

  1. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada
    YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia kerana menjemput saya untuk bersama menyempurnakan majlis yang sungguh bermakna ini. Saya sangat berbesar hati atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan projek PKJR ini secara kerjasama pintar demi memberi pendidikan dan ilmu pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya kepada anak-anak kita.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Merujuk kepada statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sangat tinggi di mana lebih 6 ribu orang mati di atas jalan raya setiap tahun. Dari jumlah ini, hampir 500 kematian adalah melibatkan kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 15 tahun. Statistik ini adalah sangat membimbangkan dan inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan PKJR secara formal di seluruh sekolah rendah dan menengah rendah adalah amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian di atas jalan raya.

  1. Jalinan kerjasama dalam pelaksanaan PKJR yang telah bermula sejak tahun 2007 lagi di mana ianya diajar secara penyerapan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu di sekolah rendah sekurang-kurangnya 2 jam sebulan. Selaras dengan komitmen ini, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan satu Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) pada tahun 2007 yang menggariskan pelaksanaan PKJR di semua sekolah rendah di seluruh negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Saya percaya bahawa PKJR mampu membawa perubahan kepada golongan muda dan anak-anak kita dalam membentuk masyarakat yang peka dan berwaspada di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) telah membuktikan bahawa terdapat perubahan tingkah laku murid pada sikap terhadap keselamatan jalan raya hasil daripada pelaksanaan PKJR di negara ini.

  1. Semakan semula modul PKJR pada tahun 2016 yang diterajui oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) telah berjaya menghasilkan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah yang selari dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dengan penglibatan khusus guru-guru dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

  1. Justeru itu, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas dedikasi dan komitmen yang diberikan oleh warga Kementerian Pendidikan Malaysia terutamanya guru-guru yang telah mengerah tenaga dan buah fikiran dalam membantu Kementerian Pengangkutan Malaysia membangunkan edisi semakan modul PKJR ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Untuk langkah hadapan, saya mengharapkan pelaksanaan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah ini dapat mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya. Ke arah aspirasi tersebut, saya yakin bahawa pegawai-pegawai dan guru-guru Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam pelaksanaan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah mulai tahun ini dan seterusnya.

  1. Kepada murid-murid saya yang dikasihi, besar harapan saya agar ilmu yang disampaikan oleh guru mengenai keselamatan jalan raya dapat dihayati dan diamalkan bagi membentuk masyarakat berbudaya tinggi di jalan raya. Harapan saya juga, anak-anak dapat berkongsi ilmu yang dipelajari dengan ibu bapa dan keluarga terdekat bagi mewujudkan kesedaran keselamatan jalan raya secara bersama. Usaha murni ini tidak akan berjaya sekiranya ibu bapa dan komuniti tidak terlibat sama dalam memastikan ilmu keselamatan jalan raya itu diamalkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Ucapan penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga Kementerian Pengangkutan Malaysia dan semua jabatan dan agensi terlibat yang telah berusaha gigih dan bertungkus-lumus untuk membangunkan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah ini.

  1. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan seperjuangan saya, YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Malaysia atas kerjasama erat yang kita jalinkan ini demi memberi perkhidmatan yang berkualiti demi masa depan dan keselamatan anak-anak kita di jalan raya.

  1. Sekian, Wabillahhi Taufik Walhidayah Assalamualaikum W.B.T

Topik Terhangat