Login

Font Size

Profile

Menu Style

Cpanel

Perutusan Ketua Pengarah

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang ke Laman Web Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia.
Dari semasa ke semasa, bilangan kenderaan dan pengguna baru di jalan raya seluruh negara sentiasa bertambah. Keadaan ini telah meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian dan juga kecederaan di samping kerosakan dan kerugian yang bukan sedikit, terutamanya di musim-musim cuti dan perayaan.

Bagi pihak kerajaan, pelbagai usaha perancangan dan pelaksanaan inisiatif telah dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak berdasarkan syor-syor dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020. Namun, kejayaannya amat bergantung kepada pengguna-pengguna jalan raya.  Sehubungan itu, perubahan sikap dan pemanduan yang berhemah amat diperlukan dari semua pengguna jalan raya untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan.

Mengikut Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya 2014 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), peringkat umur antara 11 hingga 25 tahun adalah merupakan golongan pengguna yang paling ramai maut akibat kemalangan di jalan raya, iaitu merupakan 47.88 peratus. Berdasarkan rekod kemalangan yang masih tinggi di negara ini dengan punca utamanya adalah kerana sikap penunggang dan pemandu, JKJR akan terus melaksanakan program advokasi dengan slogan Tiada Minggu Tanpa Advokasi (TMTA). 

Selain itu, program-program sedia ada akan sentiasa ditambahbaik dengan penglibatan masyarakat yang lebih meluas. Pendidikan awal kepada kanak-kanak melalui pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi akan diperluaskan bagi melahirkan generasi akan datang yang lebih peka kepada keselamatan semasa berada di jalan-jalan raya.

Saya juga menyeru agar pihak media massa dan media sosial untuk terus bersama-sama memainkan peranan untuk menjadikan jalan raya kita lebih selamat.

Oleh itu, kami di JKJR mempelawa semua pihak menggunakan sepenuhnya laman web JKJR untuk mengemukakan sebarang idea dan maklum balas dalam usaha mencapai sasaran ini.

Sekian, terima kasih

“Pandu Selamat, Tunggang Selamat, Jalan Selamat, Anda mampu Mengubahnya”

Ketua Pengarah
Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia

Topik Terhangat

Hubungi Kami

QRCode

JABATAN KESELAMATAN JALAN RAYA MALAYSIA
Aras 3, Galeria PJH, Jalan P4W, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62100 WP, PUTRAJAYA
T +60 3 8323 8000
F +60 3 8888 8806
Emel pro[at]jkjr[dot]gov[dot]my