1. Inisiatif Pemakaian Topi Keledar dan Bahan Pemantul Cahaya Kenderaan Di Luar Bandar
Di Malaysia, statistik menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan tertinggi yang maut akibat kemalangan. Pada tahun 2006, dari 6287 kematian akibat kemalangan jalan raya, 58% atau 3683 kematian adalah penunggang dan pembonceng motosikal. Sebab utama kematian adalah kesan kecederaan serius di bahagian kepala akibat tidak memakai topi keledar atau tidak memakainya dengan betul.
Atas dasar inilah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) telah mengadakan kerjasama dengan beberapa kementerian yang berkaitan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Tempatan dan badan-badan swasta telah mengadakan satu projek di daerah Kuang, Kuala Selangor dengan tujuan untuk meningkatkan pematuhan pemakaian topi keledar di kalangan penduduk tempatan. Projek rintis ini telah dilancarkan pada bulan Januari 2007 dan berakhir pada bulan Mac 2007. Kajian impak telah dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan keputusan menunjukkan sesuatu yang amat menggalakkan di mana tahap pematuhan pemakaian topi keledar telah meningkat dari 62% sebelum perlaksanaan projek kepada 84% selepas perlaksanaaan projek selama 8 minggu.
> Hasil Kajian Program Berbentuk Komuniti di Kuang
2. Kursus Warden Trafik Sekolah

Pejalan kaki adalah salah satu kategori pengguna jalan raya yang agak besar bilangannya di negara kita. Kategori pengguna jalan raya ini terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat, daripada golongan remaja, kanak-kanak, orang dewasa dan juga warga emas. Berdasarkan kepada perangkaan kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia(PDRM), golongan pejalan kaki adalah golongan ketiga terbesar yang maut (lebih 600 orang setahun) akibat kemalangan jalan raya di Negara kita selepas penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu dan penumpang kereta.
Bagi kategori pejalan kaki ini pula, ianya turut terdiri daripada murid-murid yang terpaksa menggunakan jalan raya untuk pergi dan balik daripada sekolah. Sehubungan dengan itu risiko ke atas golongan murid sekolah untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya juga turut meningkat. Meyedari hakikat ini maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi menjamin keselamatan mereka ketika di jalan raya.
Langkah-langkah tersebut termasuklah menyediakan Warden Trafik Sekolah untuk membantu murid-murid melintas jalan dengan selamat semasa datang dan pulang dari sekolah. Dengan itu maka diadakan satu kursus khas kepada kesemua Pengarah Negeri JKJR serta beberapa kakitangan dibawahnya untuk mengetahui apakah sebenarnya tugas dan tanggungjawab seorang Warden Trafik Sekolah. Mereka ini pula adalah bertangungjawab untuk menyampaikan pengetahuan ini kepada warden-warden yang akan dilantik diperingkat sekolah di negeri masing-masing kelak.
|