
UCAPAN
Y.B. DATO’ SRI ONG TEE KEAT
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PENGEDAR DAN PENJUAL MOTOSIKAL SEBAGAI
DUTA KESELAMATAN JALAN RAYA
23 April 2009
MIECC, Mines Resort City
Y.Bhg. Datuk Suret Singh
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya;
Y.Bhg.Encik Wee Hong
Pengerusi Malaysian Motorcycle and Scooter Dealer Association (MMSDA)
Dif-dif jemputan, Para media dan para hadirian yang dikasihi sekalian;
Selamat petang dan salam sejahtera,
Saya berasa amat gembira kerana pada petang yang indah ini dapat kita berkumpul bersama-sama sempena Majlis Pelancaran Program Pengedar Dan Penjual Motosikal Sebagai Duta Keselamatan Jalan Raya dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya Dengan Malaysian Motorcycle And Scooter Dealer Association(MMSDA).
Syabas dan tahniah diucapkan kepada JKJR dan MMSDA kerana telah berjaya mencapai kata sepakat dalam usaha untuk merealisasikan semangat kerjasama pintar. Maka dengan ini, terjalinlah memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berasaskan keselamatan jalan raya, seperti promosi dan kempen bersama oleh ahli-ahli MMSDA serta para pengedar dan penjual motosikal dalam meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan golongan penunggang dan pembonceng motosikal serta orang ramai di negara ini. Inisiatif dan komitmen yang kuat ini adalah amat dihargai oleh pihak Kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Penglibatan dan sumbangan pihak NGO seperti MMSDA dalam usaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya adalah amat digalakkan dan seharusnya menjadi contoh yang boleh diteladani oleh pihak NGO lain, kerana peranan dan tanggungjawab ke arah meminimakan kadar kemalangan injuri dan maut hendaklah dipikul bersama, baik oleh pihak Kerajaan mahupun oleh pihak swasta dan juga NGO. Ke arah itu pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya sedang berusaha mendekati para pengedar dan penjual motosikal untuk turut serta dalam usaha memberikan pendedahan dan mempromosikan isu-isu keselamatan kepada penunggang dan pembonceng motosikal untuk merangkumi aktiviti pengedaran poster-poster, banner dan bunting yang mempamerkan aspek-aspek keselamatan di permis-permis jualan motosikal.
Usahasama ini juga di tambah nilai melalui program latihan yang bertujuan meningkatkan pengetahuan pengedar motosikal dan peniaga-peniaga bengkel motosikal tentang isu-isu kritikal keselamatan jalan raya. Sehingga kini sebanyak 816 para pengedar/penjual/bengkel motosikal dan topi keledar telah pun dilatih oleh para pegawai JKJR peringkat negeri di seluruh negara dalam usaha mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya di permis-permis jualan melalui pengedaran poster-poster keselamatan jalan raya dalam pelbagai bahasa dan panduan-panduan keselamatan.
Usaha sebegini amat penting bagi mendidik dan memberikan pendedahan awal kepada para pembeli dan penunggang motosikal terhadap aspek-aspek keselamatan jalan raya yang merangkumi penggunaan dan pemakaian topi keledar yang kemas dan menepati piawaian SIRIM, kepentingan berpakaian cerah seperti jaket keselamatan pemantul cahaya, penggunaan pelekat bersinar VEM dan "Had 60kmsj Selamatkan Nyawa". Di bawah kerjasama pintar yang diwar-warkan ini, visi Kementerian Pengangkutan ialah bagi pengedar dan penjual motosikal untuk memainkan peranan sebagai duta keselamatan jalan raya untuk menerapkan serta memupuk budaya pemakaian topi keledar dan kegunaannya dengan betul di kalangan golongan terbabit bagi mencapai sasaran kegunaan 100% di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006 - 2010.
Semoga kerjasama dan sokongan pihak pengedar dan penjual motosikal diseluruh negara mampu menyumbang ke arah mengurangkan kematian akibat kemalangan bagi golongan ini dan seterusnya meningkatkan kefahaman dan kesedaran para pengguna jalan raya agar sentiasa menjadikan budaya pemanduan berhemah sebagai satu amalan dalam kehidupan seharian mereka. Dalam pada itu kempen advokasi dan program gantian topi keledar masih diteruskan dan diperhebatkan lagi oleh pihak JKJR bersama rakan kongsinya di seluruh negara. Kempen advokasi secara bersemuka pada setiap minggu di plaza-plaza tol dan kawasan-kawasan tumpuan awam adalah bagi memastikan khidmat nasihat dan mesej berkenaan isu-isu keselamatan jalan raya dapat difahami dan dihayati.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Berdasarkan statistik tahun 2008, sebanyak 3,898 kematian atau 58% daripada jumlah keseluruhan kematian jalan raya 6,527 kematian, membabitkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal. Maka melalui program intervensi bersama anjuran JKJR dan MMSDA, pihak kerajaan berharap kadar dan risiko kematian bagi golongan penunggang motosikal di negara kita akan dapat dikurangkan. Di samping itu tahap kesedaran dan kefahaman orang ramai akan meningkat terutamanya bagi golongan penunggang motosikal tentang kepentingan topi keledar sebagai satu-satunya alat yang boleh melindungi bahagian kepala sewaktu berlakunya kemalangan.
Kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyumbang bagi menjayakan program ini, ucapan penghargaan dan terima kasih kerana begitu prihatin terhadap masalah keselamatan jalan raya terutamanya yang melibatkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal di negara kita. Semoga melalui program pengedar dan penjual motosikal sebagai duta keselamatan jalan raya ini, sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006 – 2010 bagi pengurangan kepada 50% kadar kematian akibat kemalangan akan tercapai.
Sekian, terima kasih.
Y.B. DATO’ SRI ONG TEE KEAT
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA